TANJAK, tengkolok atau destar merupakan penutup kepala tradisional lelaki Melayu yang berkait rapat dengan istana, kepahlawanan atau sinonim dengan adat istiadat bangsa Melayu. Lazimnya, ketiga-tiga penutup kepala itu dipakai bersama baju Melayu yang dilengkapi kain samping, keris dan capal.
Pada zaman dahulu, tanjak, tengkolok dan destar dipakai oleh golongan yang berbeza-beza dan mengikut status meskipun fungsi utamanya menutup kepala untuk aspek keselamatan serta tampil kemas.
Misalnya, golongan petani sentiasa memakai destar sewaktu bekerja kerana ingin melindungi kepala daripada panas terik.
Segelintir pihak menyifatkan tanjak biasanya digunakan oleh golongan berpangkat tinggi dan pertengahan seperti laksamana serta bendahara.
“Daripada hasil pembacaan saya dapati sultan, raja, pembesar negara dan golongan bangsawan lebih cenderung memakai tengkolok yang diperbuat daripada kain berkualiti dari China dan India. Sementara itu, golongan bawahan pula seperti hulubalang dan rakyat jelata menyarungkan destar.
“Lagipun ikatan ketiga-tiga penutup kepala ini juga berbeza. Jika diperhatikan dengan teliti tengkolok dan tanjak mempunyai ciri lilitan dan lipatan yang hampir sama. Destar pula lebih kepada kain pengikat kepala tanpa perlu dijahit,” terang pembuat tengkolok Mohd. Yatim Mustaffa, 34, ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Tongkang Yard, Alor Setar, Kedah.
Tambah Yatim sambil menggosok kain samping songket untuk dijadikan tengkolok, bagaimanapun kini antara destar, tanjak dan tengkolok tiada lagi perbezaan yang ketara.
Untuk adat istiadat diraja
Cuma tengkolok sinonim dalam kalangan raja-raja Melayu dan kerabat diraja. Masyarakat biasa pula hanya mengenakan tengkolok pada majlis perkahwinan dan ketika menghadiri majlis adat istiadat yang melibatkan raja.
Bicara lanjut bekas penuntut teknologi fabrik dan jahitan di Giat Mara, Kedah itu, tengkolok terdiri dalam bermacam-macam jenis namun, tengkolok koleksi Dendam Tak Sudah paling popular dan digemari ramai. Bukan saja cara pembuatannya mudah, malah ia selesa untuk digayakan serta rekaannya yang ringkas.
“Tahun 1998 merupakan fasa baharu dalam hidup saya apabila menceburkan diri dalam bidang pembuatan tengkolok.
Padahal, saya langsung tidak memiliki pendidikan secara formal membuat tengkolok. Namun, dek minat mendalam dan tertarik dengan seni rekaan penutup kepala ini, saya berusaha mencari guru yang arif.
“Malangnya, saya gagal bertemu golongan yang pakar membuat tengkolok sehingga saya terpaksa belajar sendiri. Peringkat permulaan saya membeli sebiji tengkolok Dendam Tak Sudah yang berharga RM40. Saya buka satu persatu ikatan dan melipatnya semula sehingga mahir,” jelas Yatim yang kini turut mengusahakan jahitan tengkolok dan pakaian pengantin bersama isterinya, Mariah Shahban, 31.
Hampir 15 tahun berkecimpung dalam bidang itu, Yatim yang suka bereksperimen dengan bermacam-macam lilitan dan lipatan gemar membuat tengkolok pada pukul 11 malam ke atas. Tutur bapa kepada empat cahaya mata itu, suasana malam yang tenang menjadikannya lebih fokus memikirkan konsep rekaan tengkolok yang menarik dan unik.
Dia akan duduk di depan cermin sambil meletakkan kain batik atau kain songket di kepala. Kemudian dengan perlahan-lahan, jari-jemarinya mula membentuk konsep tengkolok yang ditempah atau mengikut cita rasanya sendiri.
“Biasanya idea rekaan tengkolok inspirasi daripada flora dan fauna. Dari segi fabrik pula saya gunakan songket kain samping yang dibeli dari Pekan Rabu, Kedah atau Pulau Pinang. Bagi sehelai kain samping boleh menghasilkan dua biji tengkolok.
“Harga tengkolok pula bergantung pada kualiti dan rekaan lilitan. Jenis kain yang murah dijual pada harga antara RM60 hingga RM90, manakala tengkolok daripada kain berkualiti bermula RM400 ke atas,” jelas Yatim sambil menunjukkan tengkolok konsep ayam teleng, gagak di rimba dan solek ketam batu iaitu tengkolok Kelantan.
Akuinya, tengkolok solek ketam antara tengkolok yang paling sukar dihasilkan kerana lipatannya sangat rumit.
Kongsi Yatim lagi, menyentuh mengenai tempahan sambutan yang diterimanya adalah sangat baik terutama ketika musim perkahwinan.
Dia yang turut aktif dalam Persatuan Seni Silat Bunga Negeri Kedah memberitahu, dia pernah bersengkang mata selama tiga hari berturut-turut untuk menyiapkan 150 biji tengkolok.
Walau tempoh yang diberikan sangat singkat, tetapi dia melakukan dengan teliti kerana ia dipakai sempena sambutan Jubli Emas Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Selain itu, Yatim yang kini giat menghasilkan 200 tengkolok yang akan dipamerkan di muzium mini tengkolok miliknya, turut menerima tempahan daripada pihak istana, institusi pengajian tinggi (IPT), persatuan silat dan kumpulan kebudayaan.
Ikut jejak bapa
Dalam pada itu, anak sulung Yatim, Omar Dani, 9, sudah menunjukkan minat pada bidang menghasilkan tengkolok. Acap kali selesai menyiapkan kerja rumah dan mengulangkaji pelajaran, Omar akan meluangkan masa membantu Yatim menyiapkan koleksi tengkolok.
“Biasanya saya membantu ayah membuat tengkolok cenderamata yang bersaiz tapak tangan. Setakat ini, saya hanya mahir melipat atau menghias tengkolok saiz kecil dan sedang belajar sebelum melangkah ke fasa yang seterusnya,” terang Omar yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru, Alor Setar.
Omar yang bercita-cita menjadi polis memberitahu dia sentiasa memegang pesanan ayahnya yang berbunyi, ‘jika tengkolok diabaikan maka tidak mustahil suatu hari nanti identiti Melayu ini akan pupus’.
Signatur bangsa Melayu
Sementara itu, anak muda bernama Farabi Sheikh Said Al Jabri, 29, mengakui bertuah kerana berpeluang memakai tengkolok sewaktu menghadiri acara istiadat Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ke-64 di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan.
“Sebelum ini dalam kebanyakan majlis formal saya hanya berbaju Melayu lengkap bersongkok atau memakai sut bersama tali leher. Ini disebabkan acara yang dihadiri melibatkan para jemputan dalam kalangan orang kebanyakan saja.
PENAMPILAN Farabi (kiri) sewaktu dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian daripada Tuanku Muhriz pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran kali ke-3 Januari lalu.
|
“Tapi, acara ini berbeza kerana ia melibatkan adat istiadat diraja yang memerlukan saya tampil kemas dan sesuai dengan institusi istana. Atas faktor itu, saya memilih untuk berbaju Melayu bersama tengkolok bagi menggantikan songkok,” terang Farabi yang dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Bercerita detik manis memakai tengkolok, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memberitahu, tengkolok kain songket nuansa hitam dan benang warna perak menjadi pilihannya pada hari itu.
Ia sepadan apabila digayakan bersama baju Melayu rona putih dan kain samping yang menggabungkan warna hitam, kelabu dan putih.
“Bagi saya, tengkolok signatur yang melambangkan semangat dan jati diri bangsa Melayu. Saya berharap penutup kepala tradisional ini dikekalkan supaya setiap generasi baharu mengenali dan menghormati tengkolok. Lagipun tengkolok sinonim dengan kedaulatan raja-raja Melayu yang memayungi rakyat jelata,” jelas Farabi.