Tag: emas pasir mas

  • Hasad Dengki : Peniaga Emas Disimbah Asid

    Hasad Dengki : Peniaga Emas Disimbah Asid

    emas-hasad-dengki

    PASIR MAS – Setiap kali memandang cermin, rasa sakit, pedih dan panas akibat disimbah asid masih lagi terasa. Apatah lagi bila melihatkan wajah ini yang telah pun banyak berubah. Hati mana yang tidak sakit.

    Sesungguhnya setiap perubahan yang berlaku pada wajah ini turut membawa perubahan dalam hidup. Saya malu untuk berhadapan dengan masyarakat. Cemuhan mereka yang tidak tahu kisah sebenar membuatkan saya hilang sabar untuk melalui hidup.

    Disebabkan itulah saya langsung tidak keluar rumah dan terus mengasingkan diri daripada dunia luar selama lima tahun. Dan kini, berkat kesabaran dan doa yang tidak pernah putus akhirnya kebenaran berada di pihak diri ini. Keputusan mahkamah memberikan sinar baru dalam hidup saya.

    Bagai mati hidup semula

    Apa yang dilalui oleh saya adalah bagaikan mati hidup semula. Bertahun-tahun melawan kes saman yang saya failkan terhadap pihak yang melakukan perbuatan keji ini di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, akhirnya kemenangan di pihak saya.

    Selain menanggung derita dan tekanan emosi saya juga perlu menanggung kos perubatan bagi merawat kulit yang tercedera sehingga mencecah RM30,000. Siapa sangka, kejadian ngeri yang dilakukan penyimbah asid upahan itu rupa-rupanya dilakukan kenalan perniagaan juga. Memang hati berat untuk menerima, tetapi, inilah yang dikatakan asam garam perniagaan.

    Saya tidak menyangka perniagaan emas yang saya jalankan bersama-sama keluarga dipandang serong oleh ahli perniagaan lain yang tidak boleh menerima persaingan. Saya tidak tahu apa puncanya tetapi di dalam mahkamah akhirnya mendapat jawapan. Puncanya biarlah kami sahaja yang tahu.

    Apa yang penting saya dapat meneruskan kehidupan seperti sediakala dan masyarakat menerima saya semula dengan melupakan kisah silam dan pandangan serong terhadap saya sebelum ini. Ketahuilah saya terlalu menderita untuk sekian lama. Cuba anda sendiri merasainya, bagaimana? Bayangkan juga jika sesuatu terjadi kepada saya, bagaimana kehidupan dan masa depan anak-anak saya?

    Saya bukan sahaja menanggung kesakitan akibat disimbah asid di bahagian muka dan dada tetapi perlu berdepan dengan tuduhan masyarakat yang tidak mengetahui cerita sebenar tentang kejadian tersebut.

    Kini nama saya sudah bersih dan saya tidak bersalah, bagaimanapun kejadian itu amat sukar untuk dilupakan kerana wajah saya sudah tidak seperti dahulu lagi.

    Jadikan iktibar

    Apa yang berlaku kepada diri saya ini diharap dapat dijadikan pengajaran kepada orang lain. Setelah lima tahun tersisih dari orang ramai kini saya dapat meneruskan kehidupan seharian seperti biasa. Sekarang saya menunggu masa untuk melakukan pembedahan pada kulit wajah.

    Selepas pembedahan ini saya akan berasa lebih yakin untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna di samping anak-anak.

    Saya mahu melupakan segala mimpi ngeri tersebut dan memulakan hidup baharu dengan lebih baik. Saya kini semakin bersemangat untuk meneruskan kehidupan tersebut bersama dengan keluarga tercinta di sisi.

    Syukur saya mempunyai suami dan anak-anak yang menjaga dan memberikan sokongan terhadap saya. Kini perniagaan juga semakin pulih seperti sediakala. Saya berharap kepada masyarakat di luar sana agar tidak melakukan sesuatu yang buruk terhadap orang lain hanya kerana sakit hati. Janganlah terburu-buru dalam membuat keputusan sehingga merosakkan kehidupan orang lain. Negara kita ada undang-undang. Bertindaklah dengan rasional.

    Bagi saya pula, kejadian itu mempunyai hikmah yang terindah. Yang baik saya jadikan sandaran, yang buruk saya jadikan pedoman. Saya menderita kerana terlalu sakit. Wajah juga sudah tidak sesempurna dahulu, tapi ALLAH itu maha adil. Sesiapa yang bersalah pasti menerima pengajaran.