Tag: emas palsu

  • Sindiket Emas Ar-Rahnu Terbongkar – Dalang Dikenalpasti

    Sindiket Emas Ar-Rahnu Terbongkar – Dalang Dikenalpasti

    sindiket-emas-palsu

    KUALA LUMPUR 25 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan modus operandi dalam kes sebuah bank tempatan ditipu RM75 juta baru-baru ini, adalah dengan menyadur kepingan tembaga menggunakan emas tulen.

    Disebabkan itu, pihak bank gagal mengesan ketulenan emas berkenaan ketika membuat tapisan pertama melalui timbangan menyebabkan pinjaman diluluskan.

    Lebih licik, sindiket itu mempergunakan penduduk kampung dengan menawarkan upah RM300 hingga RM800 seorang bagi mencagarkanemas palsu tersebut ke sistem pajak gadai Islam, Ar-Rahnu.

    Sejurus pinjaman diluluskan dan pembayaran dibuat, wang tersebut akan diserahkan kepada sindiket dan wang upah akan diberikan kepada penduduk kampung tersebut.

    Bagaimanapun, selepas tempoh tertentu dan melalui ujian seterusnya menerusi Unit Penyiasatan Kewangan, pihak bank menyedari terdapat tembaga di dalam emas berkenaan sehingga membawa kepada terbongkarnya kegiatan sindiket terbabit.

    Sindiket penipuan berkenaan dipercayai menggunakan modus operandi sama di cawangan-cawangan bank tersebut di seluruh negara.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, kes yang sama dilaporkan membabitkan enam negeri iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Melaka.

    Katanya, beberapa tangkapan telah dibuat untuk membantu siasatan kes itu tetapi beliau enggan mendedahkan bilangan mereka terlibat.

    Beliau turut enggan mendedahkan secara terperinci pecahan kerugian dan bilangan kes dilaporkan di negeri-negeri terlibat kerana siasatan masih dijalankan.

    “Polis akan menemui pegawai bank tempatan berkenaan esok, bagi membincangkan kelemahan yang boleh diatasi dalam sistem pajak gadai tersebut.

    “Kes tersebut masih dalam peringkat siasatan dan operasi memburu suspek sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Sementara itu, Ketua JSJK Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, sebanyak 14 laporan diterima membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM5.2 juta dialami cawangan bank tersebut di negeri itu.

    “Seramai 43 penduduk kampung di Daerah Barat Daya negeri dikesan telah dipergunakan sindiket berkenaan untuk mencagar emas palsu yang dibekalkan kepada mereka.

    “Seorang individu dipercayai orang tengah yang berperanan mempengaruhi orang kampung berkenaan turut diambil keterangan bagi membantu siasatan, semalam,” katanya lagi.

    Jelas Roslee, dalang kes itu telah dikenal pasti dan sedang diburu.

  • Sindiket emas palsu Ar-Rahnu tumpas

    IPOH 17 April – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan melibatkan barangan emas tiruan di daerah ini dengan tertangkapnya tiga suspek dalam serbuan berasingan sejak 2 hingga 8 April lalu. Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kesemua suspek berusia antara 55 dan 70 tahun ditahan hasil laporan seorang mangsa yang juga pemilik kedai emas dekat sini, pada 2 April lalu.

    Katanya, pemilik kedai emas itu mendakwa didatangi seorang suspek yang menawarkan surat gadai emas menerusi Skim Ar-Rahnu dari sebuah bank tempatan. “Pengadu bersama suspek ke bank berkenaan untuk menebus barang kemas berupa tujuh biji loket emas bernilai RM32,394.24. “Selepas barangan itu diserahkan kepada pengadu dan pemeriksaan dibuat dengan memotong salah satu daripada loket, pengadu menyedari bahawa ia merupakan emas tiruan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Mohd. Shukri berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan menggadaikan emas tiruan di bawah Skim Ar-Rahnu dan apabila tamat tempoh gadaian emas tersebut, ia akan dijual kepada pembeli lain. Katanya, siasatan awal mendapati, dua daripada suspek merupakan bekas pekerja bank tersebut manakala seorang lagi penganggur. “Hasil tangkapan itu, polis merampas 15 utas rantai tangan dan 15 utas rantai leher yang disyaki tiruan seberat dua kilogram yang dianggarkan bernilai RM360,000,” kata beliau.

    Menurutnya, daripada semakan yang dibuat, salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah iaitu memalsukan dokumen pada 1985 dan 1986. “Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sekiranya ada individu yang menawarkan barang kemas untuk dijual kerana disyaki sebagai barangan tiruan. “Justeru itu, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan tersebut diminta menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya.

  • Pencelop emas tukar emas palsu

    Gara-gara hanya mahu mencuci emas serendah RM2, seramai kira-kira 20 suri rumah dari Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kampung Orang Asli Kedaik, di sini, ditipu ‘tukang celup emas’ yang datang dari rumah ke rumah penduduk.

    Modus operandi yang dilakukan sindiket itu sungguh licik dengan mendakwa mereka dari negara China serta tidak pandai berbahasa Melayu dan mahu menolong penduduk mencuci emas dengan tawaran harga yang rendah.

    Bagaimanapun, penduduk yang ‘termakan janji manis’ dua wanita dan seorang lelaki dipercayai warga China itu, terkejut besar apabila mendapati emas yang disadur bertukar warna serta kandungan emasnya jauh menyusut daripada nilai asalnya.

    Kesemua penduduk yang ditipu sindiket terbabit dianggarkan mengalami kerugian lebih RM50,000 dalam sekelip mata sahaja apabila kehadiran tetamu asing yang tidak diundang itu menyebabkan mereka kini hidup dalam tekanan.

    Alami kerugian hampir RM20,000

    Sarimah Ada, 32, berkata, kesemua emas yang disimpannya itu diserahkan kepada warga asing tersebut kononnya mahu mencuci emasnya bagi mengembalikan warna emas yang lebih berkilat.

    Namun, sangkaannya untuk melihat emasnya kembali kilat jauh meleset apabila kesemua barangan emas yang dicelup dalam bekas cecair yang dibawa seorang lelaki China itu tiba-tiba bertukar warna.

    “Pada masa itu, saya hanya diam membisu dan tidak banyak cakap serta menuruti sahaja apa yang disuruh oleh pihak terbabit.

    “Namun, setelah mereka beredar dan pulang saya menyedari telah menjadi mangsa tipu apabila melihat emas yang diserahkan kepada mereka bertukar warna dan barangan kemas saya menjadi lebih ringan,” katanya kepada Sinar Harian.

    Menurutnya, antara barang kemas yang dileburnya kepada ketiga-tiga suspek adalah, seutas rantai tangan, empat cincin dan tiga rantai leher dengan anggaran kesemuanya bernilai hampir RM20,000.

    Suspek wanita dipercayai muda, kelihatan cantik

    Wati Acha, 43, berkata, dua wanita itu mempunyai kulit yang halus dan gebu serta berpenampilan menarik serta dipercayai masih berusia dalam lingkungan 20-an berdasarkan paras rupa paras wanita tersebut.

    Katanya, dua wanita itu juga memakai beg poket pinggang bagi memudahkan mereka memasukkan wang yang diterima mereka daripada ‘pelanggan’ selepas kerja menyadur emas dilakukan.

    “Wanita muda itu kelihatan berperwatakan menarik dan hanya dengan senyuman mereka sahaja, kami terus terpukau dan menyerahkan emas seperti yang diminta suspek melalui bahasa isyarat,” katanya.

    Menurut Wati, semasa kejadian itu, dia hanya tinggal keseorangan bersama dua orang anaknya yang masih kecil dan aktiviti itu dilakukan dalam tempoh masa tidak kurang 10 minit sahaja.

    “Mereka datang dengan tergesa-gesa dan minta saya keluarkan emas kononnya mahu sadur, namun selesai mengambil upah menyadur emas, mereka pulang dengan selamba,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya, dia tergerak hati melihat semula emas yang disadur, namun alangkah terkejutnya apabila mendapati sebentuk cincin gred 916 bertukar warna menjadi putih, manakala barangan kemas lain kelihatan semakin ringan.

    “Saya berasa sungguh kesal kerana emas ini adalah harta yang saya simpan jika berlakunya kecemasan dan memerlukan wang untuk perbelanjaan keluarga, tetapi kesemuanya hilang begitu sahaja,” katanya.

    Cari suri rumah yang tinggal keseorangan di rumah

    Timah Bidun, 60, berkata, suspek biasanya mencari suri rumah yang tinggal keseorangan pada waktu itu di rumah kerana bimbang kegiatan licik mereka memperdaya suri rumah mungkin boleh ‘dihidu’ suami.

    Timah berkata, biasanya mereka akan mengintai terlebih dahulu ke dalam rumah sebelum masuk ke dalam setelah yakin hanya suri rumah sahaja yang ada dalam rumah itu, sebelum suspek bertindak ‘memasang jerat’.

    Katanya, walaupun tidak diundang, namun dua wanita itu terus menyelinap masuk ke dalam rumah, sementara seorang lagi rakan lelaki mereka tunggu di dalam kereta sebelum lelaki itu dipanggil suspek masuk ke rumah yang sama.

    “Lelaki yang sedia menanti di luar terus masuk ke rumah dengan membawa barangan untuk mencuci emas dan menjalankan aktiviti itu selepas meminta kami mengambil emas yang disimpan,” katanya.

    Menurutnya, kesemua mereka yang terpedaya dengan taktik licik itu seolah-olah dipukau suspek tersebut dan modus operandi yang dilakukan suspek adalah sama iaitu dengan mengintai, menyelinap masuk ke dalam rumah dan meminta barang kemas untuk dicuci,”
    katanya.

  • Mendulang emas tipu – Pyrite

    JOHOR BAHRU – Jabatan Mineral dan Geosains negeri mengesahkan logam yang disangka emas di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini sebenarnya sejenis mineral tidak berharga yang dikenali sebagai pyrite.

    Walaupun ia mempunyai kilauan keemasan, warna pyrite atau juga dikenali sebagai ’emas tipu’ akan bertukar hitam jika dileburkan atau selepas menjalani ujian asid.

    Pengarahnya, Shahar Effendi Abdullah Azizi berkata, pihaknya telah meninjau lokasi penemuan logam tersebut pagi semalam dan membuat kajian terhadap sampel yang diambil dari situ.

    “Perbezaan paling ketara antara pyrite dan emas ialah emas mempunyai kilauan lebih ketara.

    “Kami tidak pernah mengetahui di kawasan ini ada emas kerana kebiasaannya, ia hanya dijumpai di kawasan-kawasan tertentu contohnya di sekitar Mersing yang terkenal dengan gelaran ‘Jaluran Emas’,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.