Di Hungary terdapat program penggunaan semula wang yang agak unik. Wang lama yang sudah rosak akan dikumpul Bank Negara Hungary sebelum dimusnahkan menjadi kertas sekerap. Bongkah wang lama ini kemudian diserahkan ke rumah-rumah anak yatim sekitar Budapest untuk dijadikan bahan bakan pedandang ketika musim sejuk. Setiap tahun setiap rumah anak yatim akan menerima antara 20-30 tan bongkah wang kertas lama untuk dibakar. Weird eh?
Category: Dunia Luar
-
Mesin automatik membeli emas
LONDON – Sebuah mesin automatik di sebuah pusat beli-belah Westfield, di barat London menjual kepingan emas, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebuah komputer di dalam mesin itu akan mengemas kini harga emas setiap 10 minit berdasarkan harga di pasaran dunia.
Para pembeli boleh memilih wang syiling emas seberat satu gram berharga £40 (RM192.97) atau kepingan emas seberat 250 gram yang berharga £10,250 (RM49,445) dengan menggunakan mesin tersebut.
Mesin itu juga mengeluarkan kepingan emas kecil seberat 2.5 gram dengan harga £100 (RM482.46)
Kepingan emas paling kecil yang dijual di mesin itu ialah satu gram.
Tidak ada pengawal keselamatan yang mengawasi mesin automatik itu namun ia diperkukuhkan dengan besi dan dilengkapi sistem penggera keselamatan.
-
Meninjau penghuni laluan emas
KVETA ZRUSTOVA, 91, masih ingat dengan jelas kenangan pada musim bunga tahun 1938 ketika dia memasuki sebuah rumah kecil di Laluan Emas terkenal di Prague untuk meminta nasihat daripada seorang tukang tilik, Madame de Thebes.
“Saya benar-benar takut ketika itu. Dia duduk di satu sudut dengan seekor kucing di atas bahunya,” kata Zrustova yang ketika itu berusia 18 tahun dan mahu meramal nasib mengenai peperiksaan sekolahnya.
Madame de Thebes, yang kemudian mati semasa disoal siasat Nazi selepas meramalkan kejatuhan Adolf Hitler adalah salah seorang daripada warna-warni kehidupan di jalan bersejarah tersebut.
Ditutup sejak awal tahun lalu, lorong yang telah diubah suai di Istana Prague dan merupakan salah satu tarikan utama pelancongan di bandar itu dibuka semula pada awal bulan ini untuk memberi peluang kepada pengunjung untuk mengintai kehidupan mereka yang pernah tinggal di situ.
Kebanyakan daripada 20 rumah kecil di sepanjang jalan tersebut telah berubah menjadi muzium kecil, dengan setiap perincian kepada penghuninya satu ketika dulu.
Hidup sederhana
“Tujuannya adalah untuk menunjukkan pelawat mengenai hidup orang biasa yang tinggal dan bekerja di sini, seolah-olah mereka baru saja meninggalkannya,” kata ahli sejarah, Pavel Jiras yang bertanggungjawab atas perubahan yang dilakukan.
SEBAHAGIAN besar rumah di Laluan Emas diubah suai menjadi muzium kecil.
Rumah-rumah tersebut dibina sebagai pengukuhan kubu berasaskan dekri yang dikeluarkan oleh Maharaja Jerman dan Raja Czech, Rudolph II (1552-1612).
“Tukang jahit, tabib herba dan tukang emas. Setiap rumah ada sejarah tersendiri.
“Terdapat keindahan dalam kehidupan mereka yang serba sederhana. Magis misteri yang nyata berbeza dengan era agresif dan kejam kita,” kata Jiras.
Tidak seperti yang diceritakan dalam legenda dan sering diuar-uarkan berterusan oleh pemandu pelancong, jalan itu tidak pernah menempatkan ahli kimia yang diupah Rudolph II untuk cuba menukarkan plumbum kepada emas.
Penghuni Laluan Emas termasuklah Franz Kafka (1883-1924), penulis Yahudi kelahiran Prague yang mencari inspirasi di situ dari tahun 1916 hingga 1917.
“Di rumah nombor 22, Kafka menulis naratif yang muncul dalam cerita ringkas berjudul A Country Doctor.
“Apa yang tidak diketahui oleh ramai orang ialah Kafka juga sebenarnya adalah seorang ilustrator,” kata pengurus kedai buku yang ditempatkan di situ, Gabriela Cinkova, sambil menunjukkan sebuah buku kecil dengan lukisan penulis di sebelah novel terkenalnya Amerika: The Missing Person, The Trial dan The Castle.
Ribuan filem
Rumah nombor 12 pernah dihuni oleh sejarawan Josef Kazda yang berjaya menyelamatkan ribuan filem Czech daripada dimusnahkan oleh Nazi.
Sementara rumah nombor 15 diubah suai menjadi rumah tukang emas sebagai memori kepada sejumlah mereka yang mencari rezeki dengan profesion tersebut selama berkurun lamanya sehingga ia turut digelar Laluan Tukang Emas.
HIASAN dalaman rumah dijaga baik seolah-olah penghuninya baru sahaja meninggalkan rumah tersebut.
“Anda dapat melihat bengkel tukang emas sebenar dengan kesemua peralatan yang diperlukan,” kata Pengarah Jabatan Pelancongan di Istana Prague, Frantisek Kadlec.
Katanya, peralatan tersebut dihadiahkan oleh sebuah keluarga Czech yang mendengar laporan radio mengenai pengubahsuaian tersebut dan memutuskan untuk menyumbangkannya selepas ia diwarisi daripada seorang anggota keluarga yang meninggal pada tahun 2009.
Di rumah nombor 26 yang pernah didiami oleh tukang jahit turut memaparkan gambar kekasihnya dalam pakaian seragam tentera Austria yang dirakamkan sebelum dia terbunuh dalam Perang Dunia Pertama.
Perangkap komersial
Penghuni terakhir terpaksa meninggalkan Laluan Emas tidak lama selepas komunis mula berkuasa di negara bekas Czechoslovakia itu pada tahun 1948.
Rejim totalitarian digulingkan pada tahun 1989. Empat tahun kemudian negara itu berpecah kepada Republik Czech dan Slovakia.
Dengan berkembangnya kapitalisme, pengkritik mendakwa laluan itu menjadi perangkap komersial secara melampau.
Namun bagi Pengarah Pejabat Pentadbiran di Istana Prague, Ivo Velisek menegaskan, Laluan Emas kini adalah lebih baik selepas menjalani pengubahsuaian paling besar yang pernah dibuat.
“Untuk satu jangka masa yang panjang kita pernah mempunyai penghuni tetap iaitu sepasang burung hantu. Ia meninggalkan kawasan ini lima tahun lalu, mungkin kerana merasakan tempat ini sudah tidak sesuai didiami.
“Tetapi kedua-duanya datang semula pada musim bunga seolah-olah untuk memberitahu kami yang Laluan Emas sudah kembali hidup,” katanya.