Category: Agama

  • Bagaimana menunaikan haji dengan dinar

    Post kali ini saya hendak sentuh tentang menampung kos Haji dengan menggunakan Dinar emas. Ramai di antara kita di sini yang mungkin terlepas pandang, bahawa sebenarnya, kos menunaikan haji jika dibiayai oleh dinar emas adalah semakin berkurang dari tahun ke tahun. Hal ini terjadi kerana berlakunya kenaikan nilai emas pada setiap tahun.

    Berikut adalah kiraan kos haji bagi tahun-tahun yang lepas berdasarkan nilai dinar emas;

    Tahun 2002:-
    1 Dinar = RM 140
    Kos Haji = 65 keping (ikut gambar graf di bawah) X RM 140
    Jumlah = RM9,100.00
    Dinar yang diperlukan adalah 65 keping.

    Tahun 2009:-
    1 Dinar = RM 502
    Kos Haji = 18 keping (ikut gambar graf di bawah) X RM 502
    Jumlah = RM 9,036.00
    Dinar yang diperlukan adalah 18 keping.

    Tahun 2010:-
    1 Dinar = RM 595
    Kos Haji = 17 keping x RM 595
    Jumlah = RM 10,115.00 ( Kos haji pada tahun 2010 hanya RM 9,980)

    Sumber kos Haji boleh dibaca di BERITA HARIAN

    Berdasarkan rekod yang diperoleh, dapat dianggarkan bahawa,pada tahun 2015, kos menunaikan Haji hanya memerlukan 10 Dinar Emas sahaja. 

    read more at: http://www.pelaburanemas999.com/2011/03/bagaimana-menampung-kos-haji-dengan.html

  • Awasi riba dalam pembelian emas

    AKHIR-akhir ini timbul keghairahan di kalangan umat Islam di negara ini untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling, jongkong dan sebagainya.

    Situasi ini menyebabkan ada di kalangan mereka lupa akan batas-batas syariah berkaitan pembeliannya sehingga membawa kepada amalan riba yang diharamkan Islam.

    Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah’: 278-279)

    Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam urus niaga sesuatu barangan atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang lewat.

    Emas selaku komoditi bernilai merupakan salah satu barangan berunsurkan riba (ribawi) yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin al-Samit : Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika asnaf-asnaf ini berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh). (riwayat Muslim)

    Hadis ini menyenaraikan barangan ribawi yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu matawang seperti emas, perak, ringgit, dollar dan sebagainya serta makanan asasi seperti padi, gandum, barli, tamar dan garam.

    Walaupun begitu, syarat ini tidak terpakai dalam urus niaga barangan ribawi yang berlainan kategori dan jenis, seperti membeli padi dengan menggunakan emas atau urus niaga barangan ribawi dengan barangan bukan ribawi seperti boleh membeli kereta dengan menggunakan emas atau matawang lain.

    Urus niaga pembelian emas kini melibatkan pertukaran emas dengan matawang lain. Menurut muamalat Islam, pembelian atau pertukaran matawang dengan matawang seperti membeli emas dengan wang ringgit adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf (tukaran wang).

    Justeru, pembelian emas mestilah mematuhi syarat kontrak tersebut, iaitu mestilah tunai serta-merta tanpa ditangguh atau diberi tempoh. Syarat serahan dan penerimaan barangan emas mestilah berlaku semasa akad pembelian sebelum berpisah.

    Oleh itu, kita semua perlu mengawasi perkara ini demi mengelak diri daripada terkena najis riba yang kemudiannya akan terkena bakaran api neraka serta dilaknat Allah SWT. Ingatlah amaran Rasulullah SAW: Allah melaknat orang yang memberi dan menerima riba. (riwayat Muslim)

  • Kewajipan kepada pemilik barang kemas -Islam

    MEMANG fitrah manusia sentiasa tertarik epada harta dan suka mengumpulnya. Malah manusia tidak pernah puas dalam mengejar harta kekayaan. Hakikatnya, tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalang kecintaan dalam mengejar harta kecuali kematian.

    Allah turut merakamkan kecintaan manusia kepada harta benda dalam firman-Nya yang bermaksud: Dijadikan indah pada (pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu; wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga). (ali-Imran: 14).

    Hakikatnya ramai yang alpa atau buat-buat terlupa bahawa harta yang dimiliki itu sebenarnya hak Allah SWT. Hak kita hanyalah sebagai ‘pengurus’ atau ‘penjaga’ yang pastinya akan ditanya dari mana harta itu dan ke mana ia dibelanjakan.

    Oleh itu, janganlah sekali-kali menganggap harta yang dimiliki hak mutlak kita dengan berbelanja sesuka hati termasuk ke jalan kemaksiatan dan kemungkaran.

    Islam tidak menganggap kekayaan sebagai penghalang untuk berbakti kepada agama dan meningkatkan mutu ibadat serta mendekatkan diri kepada Allah.

    Bahkan, Islam menyuruh umatnya mencari sebanyak mungkin harta. Syaratnya, jangan sampai lalai daripada mengingati Allah SWT.

    Malah, dalam al-Quran banyak disebutkan ayat yang menyeru umat Islam untuk mencari rezeki dan berusaha di atas muka bumi ini.

    Firman Allah SWT yang bermaksud: Dialah yang menjadikan bumi ini mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya kamu (kembali setelah) dibangkitkan. (al-Mulk: 15)

    Manakala dalam surah al-Jumu’ah ayat 10 pula Allah SWT menuntut kita mencari dan mengumpulkan harta.

    Malahan Rasulullah sentiasa berdoa agar dimasukkan dari kalangan orang yang kaya dan dijauhkan daripada kemiskinan dan kefakiran.

    Yang pastinya, Islam tidak menyuruh umatnya hidup dalam keadaan miskin dan sentiasa mengharap simpati orang.

    Persepsi yang menyebutkan bahawa jika ingin menjadi hamba yang soleh mestilah hidup dalam keadaan miskin bukanlah syiar Islam.

    Ini pernah ditegaskan dalam buku karangan ulama terkenal, Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi bertajuk Masalah Dalam Kemiskinan dan Cara Islam Mengatasinya.

    Dalam buku itu beliau mengatakan kemiskinan boleh membawa seseorang melakukan perkara yang menjejaskan akidah serta merbahaya kepada pemikiran, akhlak, masyarakat dan negara.

    Untuk memastikan wujud keadilan antara yang miskin dan kaya, maka terdapat mekanisme zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam yang ada kemampuan.

    Bagi zakat harta ia turut termasuk zakat emas terutama bagi golongan wanita yang suka berhias dan memakai barangan perhiasan daripada emas dan perak.

    Malah ada yang yang menjadikan pembelian perhiasan emas dan perak sebagai satu hobi dan kemestian.

    Sedangkan tanpa disedari di sebalik hobi atau kemestian sebenarnya ada kewajipan yang perlu diberi perhatian.

    Eksekutif Zakat PPZ-MAIWP, Ahmad Husni Abd. Rahman memberitahu, kesedaran umat Islam di negara untuk mengeluarkan zakat emas dan perak menampakkan peningkatan.

    “Ramai yang sudah mula sedar kewajipan berzakat dan menunaikannya. Ini dilihat menerusi statistik dari segi penambahan bilangan pembayar individu, syarikat dan sebagainya serta bilangan kutipan yang meningkat.

    “Walaupun ada kesedaran yang baik tetapi masih perlu diusahakan kerana pasaran emas bukan lagi terhad kepada emas perhiasan atau emas yang disimpan dalam bentuk klasik semata-mata bahkan sudah melebar luas kepada emas dalam bentuk perdagangan dan pelaburan,” katanya ketika ditemui selepas bengkel Kilauan Firdausi anjuran Pusat Pengutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Felda Holdings Berhad dan Habib Jewels Sdn. Bhd.

    Ujar Ahmad Husni, kebiasaannya bagi emas yang disimpan, tidak banyak isu yang dibincangkan.

    Perkara yang sering menimbulkan persoalan sama ada wajid berzakat atau tidak ialah yang membabitkan emas yang digadai dan yang dipakai sebagai perhiasan.

    Yang pertama terdapat pandangan yang mewajibkan zakat terhadap emas yang dipakai.

    Pandangan ini dikeluarkan oleh Umar bin al-Khattab, Abdullah bin Mas’ud, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Amr bin ‘Ash, Sa’id bin al-Musayyab, Sa’id bin Jabir, ‘Atha’, Mujahid dan lain-lain lagi. Mazhab Hanafi, Zahiri dan Zaidiyah juga menyokong pendapat ini.

    Kedua, pendapat yang mengatakan tidak wajib zakat ke atas emas yang dipakai sebagai perhiasan sebagaimana yang dikeluarkan oleh Abdullah bin Umar, Aisyah, Jabir bin Abdullah, Anas bin Malik, Asma binti Abu Bakr dan beberapa orang lagi. Mazhab Maliki, Hambali dan pendapat yang ketara daripada Syafie dan Ja’fariyyah juga mendokong pendapat kedua ni.

    Kata Ahmad Husni, setelah dilihat dan dikaji, kewajipan zakat emas yang dipakai ini dilihat kepada persoalan uruf (kebiasaan pemakaian) masyarakat setempat.

    Jika ia melebihi keperluan, maka dianggap sebagai sesuatu yang bersifat berlebih-lebihan dan keluar dari norma keseimbangan.

    Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: Yang lebih daripada keperluan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir.

    Maka lebihan daripada uruf tersebut wajar dizakatkan. Uruf emas perhiasan di Wilayah Persekutuan adalah sebanyak 150 gram.

    Isu lain kata Ahmad Husni, adalah berkaitan nilaian untuk kiraan emas, sama ada dinilai secara purata atau mengikut harga semasa.

    Perkara ini katanya, masih dalam perbincangan yang akan diumumkan keputusannya.

    Melihat kepada nilai emas yang semakin tinggi menyebabkan emas bukan sahaja terhad sebagai barang perhiasan tetapi telah digunakan untuk pelaburan.

    Jelas Ahmad Husni, emas pelaburan wajib dizakatkan. Ini berdasarkan kaedah fiqh dalam bab zakat dinyatakan: “Setiap harta yang berkembang atau mempunyai potensi pengembangan dan produktif, maka ia adalah tabungan untuk zakat.”

    Justeru, kecenderungan menjadikan emas sebagai komoditi harus dilihat kaedah zakatnya. Ia mungkin bukan lagi dalam bentuk emas itu sendiri secara fizikal tetapi lebih kepada pergerakan pelaburan yang mirip kepada zakat perniagaan.

    Mengulas tindakan mereka yang lari daripada kewajipan menunaikan zakat, Ahmad Husni berkata, apabila seseorang itu telah mampu dan telah wajib untuknya mengeluarkan zakat tetapi dia melewatkan pengeluaran zakat maka terdapat dua kesan ke atas dirinya:

    lBerdosa kerana dia dengan niat sengaja melewatkan pembayaran dan menjadi penghalang orang fakir untuk mendapatkan haknya.

    lHak ganti rugi fakir miskin terhadap ‘ain harta yang diwajibkan zakat walaupun semua hartanya musnah. Ini kerana dia sengaja melewatkannya tanpa alasan dan dia terpaksa menanggung risiko kelalaiannya demi menjaga kepentingan orang yang berhak.